Jagalah lidahmu
~Bismillah~
Akhirnya cuti juga, walaupun cuma sehari memandangkan hari
Sabtu merupakan hari persekolahan ganti. Hari ni aku nak berkongsi sesuatu.
Teringat satu teka-teki yang diutarakan oleh Imam Ghazali kepada anak muridnya.
“Apakah yang paling tajam di dunia ni”
Anak muridnya ada yang menjawab pisau dan bermacam-macam
lagi benda tajam yang lain. Tapi jawapannya adalah lidah.
Ada apa dengan lidah? lidah dan mulut tidak dapat
dipisahkan. Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa. Melihat kepada
realiti masyarakat pada hari ini, tidak perlu pandang jauh, sebagai seorang
guru, individu yang paling dekat dengan diri kita adalah pelajar. Nilai-nilai
murni para pelajar pada hari ini seakan-akan semakin hilang ditelan zaman,
semuanya bermula dari kata-kata yang kurang sopan atau perkataan yang menunjukkan
hilangnya hormat kepada guru, contohnya penggunaan ayat “ada aku kisah” bila
ditegur atas sesuatu kesalahan.
Macam mana pula dengan hubungan kita dengan orang yang rapat
dengan kita? Adakah kita cukup berhati-hati ketika melontarkan tutur kata? Terutama
bila hati sudah panas. Berhati-hatilah kerana sesuatu yang kita sudah cakap,
kita tidak boleh akan undur semula.
Teringat akan satu cerita teladan yang mengisahkan seorang
anak dan ayah. Si anak merupakan seorang yang kuat marah dan bila marah, pasti
ada kata-kata yang kurang elok, maki hamun pasti akan dilontarkan. Jadi, untuk
mencari penyelesaian, ayahnya membuat satu tembok yang ditutupi dengan kain dan
meberikankan anaknya tukul dan paku. Ayahnya menasihati bila mana engkau marah
dengan seseorang, luahkanlah kemarahanmu dengan menukul tembok ini dengan
menggunakan tukul dan paku yang telah diberikan.
Anaknya mengikuti segala apa yang disuruh, bila mana saja
anak tersebut rasa kurang puas hati atau marah dengan seseorang, dia pasti akan
menukul tembok tersebut semahu-mahunya. Setelah lama berlalu, si anak pun telah
berubah dan menjadi seorang yang tidak mudah marah. Jadi, ayahnya pun pergi menemuinya
dan menjelaskan sesuatu. Ayahnya menjelaskan
bahawa dalam kehidupan ini jangan sekali-kali menyakitkan hati insan yang lain
dngan kata-kata yang kesat, kerana sesungguhnya bila mana kita marah, kita akan
lontarkan apa sahaja tanpa mengira perasaan orang lain, begitu juga dengan
situasi si anak. Ayahnya membuka kain yang menutupi tembok itu, dan alangkah
terkejutnya si anak bila melihat banyak kesan-kesan paku yang ditinggalkan. Kesimpulannya
bila mana kita marah, tentu pasti ada kesan yang pasti akan tertinggal.
Buat renungan
bersama, kadang-kadang kita lupa diri apabila nafsu amarah mula menguasai diri
kita. Kita cenderung untuk mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan hati demi
memuaskan diri sendiri. Ingatlah biarpun orang sudah memaafkan perbuatan kita, tapi
jauh dihati mereka masih ingat dengan
kata-kata kurang sopan yang kita pernah lafazkan.
Inilah yang membezakan manusia dengan pencipta. Allah sahajalah yang mampu mengampunkan kita dengan sebenar-benar keampunan. Maka, jika kita membuat kesalahan kepada seseorang, mohonlah maaf kepadanya dan juga kepada-Nya. Jika kita yang dizalimi, maafkanlah si pelaku dengan sebenar kemaafan.
Nasihat buat
diri juga, bila mana kita sudah marah, cepat-cepat ambil wudhu dan istghfar
banyak-banyak ya, cepat-cepat ingat Allah kerana sesungguhnya kemarahan
daripada syaitan dan syaitan daripada api.
Sabda Nabi SAW “Apabila seseorang kamu marah dalam
keadaan berdiri hendaklah dia duduk, jika masih tidak hilang kemarahannya
hendaklah dia berbaring secara mengiring”
(Hadith riwayat Ahmad & Abu Daud)
Comments
Post a Comment