Reflaksi Akhir Tamat LM

~Bismillah~

Ini antara bait2 refleksi akhir setelah tamat LM.. Alhamdulillah, dengan izin dari Allah, dapat juga menamatkan LM ini.


Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan rahmat dari-Nya dapatlah saya menyelesaikan latihan mengajar.

 Sepanjang tempoh latihan mengajar ini, terdapat banyak pengalaman yang telah diperolehi baik secara langsung ataupun tidak langsung yang dapat menyumbang kepada pembentukan seorang individu yang mempunyai ciri-ciri seorang pendidik yang berjaya.

Bermula 3 Januari 2011, bermulalah kehidupan saya sebagai seorang guru pelatih. Jarak di antara sekolah dan rumah sebanyak 36 KM menuntut saya untuk gerak seawal pukul 5.30 pagi dari rumah bagi mengelakkan tersangkut dalam kesesakan jalan raya. Semasa perhimpunan mingguan yang pertama saya dan rakan guru-guru pelatih yang lain telah diperkenalkan kepada para pelajar.       

Sepanjang tempoh Latihan Mengajar ini, saya telah mendapat seribu satu kenangan untuk dijadikan pengalaman sebagai bekalan sebelum melangkah ke alam pekerjaan yang sebenar. Selepas tamatnya latihan, banyak pengalaman telah dapat saya perolehi baik kenangan manis atau pahit serta pengalaman suka dan duka. Yang pasti, segala kenangan dan pengalaman di sekolah ini akan sentiasa tersemat di hati sanubari saya.

Banyak pengalaman baru dapat saya rasai. Contohnya ialah semasa kali pertama menghadiri mesyuarat guru dan menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P). Dalam P&P, saya merasai pengalaman mengajar sebenar yang sudah pasti menjadi ingatan sepanjang hayat. Saya sangat teruja walaupun gementar untuk mengajar kerana subjek yang bakal saya ajar merupakan subjek yang amat saya minati iaitu Elektronik dan saya diberi tanggungjawab untuk mengajar murid Tingkatan 4 Elektronik. Namun begitu, tugas untuk menyampaikan ilmu bukanlah sesuatu yang boleh dianggap mudah kerana tugas ini memerlukan cara dan method yang gigih dan hati yang tabah, lebih-lebih lagi apabila saya diminta untuk mengajar pelajar dari aliran Vokasional.

Saya akui amat sukar bagi saya yang berasal dari sekolah berasrama penuh, untuk menyesuaikan diri dengan suasana dan budaya sesebuah sekolah teknik, tetapi saya percaya saya boleh menyesuaikan diri terhadapa budaya sekolah teknik bak kata pepatah alah bisa tegal biasa.

Dari segi kokurikulum pula, saya merasa sangat bertuah kerana saya dan guru-guru pelatih diberi peluang untuk menjadi timbalan ketua rumah-rumah sukan bagi sukan tahunan sekolah ini. Pada mulanya ketika diberi amanah untuk memegang jawatan ini, jauh dihati saya berasa sedikit risau kerana bimbang sekiranya tidak dapat  menjalankan amanah ini dengan sebaik mungkin. Walau bagaimanapun, kerjasama yang baik dari guru-gurudan nasihat dari Penolong Kanan Kokurikulum telah  menambah keyakinan saya untuk bertindak sebagai timbalan ketua rumah.  Selepas sukan antara rumah, kami guru-guru pelatih diberi amanah pula untuk mengiringi pelajar-pelajar ke Majlis Sukan Sekolah Daerah.

Walaupun agak sibuk kerana terpaksa mengimbangi P&P dan aktiviti kokurikulum, semuanya merupakan pengalaman yang perlu dihadapi oleh seorang pelatih untuk menjadi seorang guru yang berkaliber pada masa akan datang. Hal ini kerana, di alam yang sebenar juga, tugas seorang guru tidak hanya terhad kepada mengajar tetapi juga terlibat dalam pelbagai aktiviti kokurikulum.

Saya akui bahawa saya juga mempunyai pelbagai kelemahan ketika mengajar, namun kelemahan ini tidak saya anggap sebagai penghalang demi menabur ilmu dan bakti kepada anak-anak bangsa. Untuk tujuan ini, saya telah bermuhasabah diri dan tidak memandang negatif kepada kelemahan-kelemahan saya itu. Di antara kelemahan saya adalah tidak terlalu tegas dan menyebabkan anak-anak murid saya tidak begitu menumpukan perhatian sepenuhnya ketika sesi P & P berlangsung.  Kelemahan-kelemahan lain ialah dari segi penyediaan rancangan pengajaran dan pengurusan masa. Kelemahan ini akan saya perbaiki dari semasa ke semasa bagi meningkatkan mutu dan kualiti pengajaran saya.

Akhir kata, tugas guru memerlukan pengorbanan dan komitmen yang sangatlah tinggi. Namun saya akan serahkan seluruh jiwa dan raga saya bagi mengejar impian saya untuk menjadi warga pendidik yang sanggup memberi khidmat demi kesejahteraan anak-anak bangsa saya sendiri tanpa mengenal erti penat. Saya sangat bersyukur kerana sepanjang tempoh LM ini, warga sekolah baik daripada barisan pentadbiran, guru-guru Bengkel Elektronik yang sentiasa memberikan tunjuk ajar, guru-guru staf-staf dan para pelajar telah banyak memberikan kerjasama yang jitu sehingga saya dapat megakhiri LM ini dengan sebaik mungkin. Tidak lupa juga sekalung penghargaan buat warga pendidik Fakulti Pendidikan,  Penyelaras Latihan Mengajar, Penyelia-penyelia  dan para pensyarah yang sentiasa berusaha untuk melahirkan guru-guru yang cemerlang baik dari segi akademik dan sahsiah. Ikhlas dari saya sekian terima kasih.

Comments

Popular posts from this blog

Andai 'dia' pergi...

Diari SLE: Cryptococcal Meningitis

Diari SLE: Aku dan SLE