Jagalah lidahmu


~Bismillah~

Akhirnya cuti juga, walaupun cuma sehari memandangkan hari Sabtu merupakan hari persekolahan ganti. Hari ni aku nak berkongsi sesuatu. Teringat satu teka-teki yang diutarakan oleh Imam Ghazali kepada anak muridnya.

“Apakah yang paling tajam di dunia ni”

Anak muridnya ada yang menjawab pisau dan bermacam-macam lagi benda tajam yang lain. Tapi jawapannya adalah lidah.



Ada apa dengan lidah? lidah dan mulut tidak dapat dipisahkan. Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa. Melihat kepada realiti masyarakat pada hari ini, tidak perlu pandang jauh, sebagai seorang guru, individu yang paling dekat dengan diri kita adalah pelajar. Nilai-nilai murni para pelajar pada hari ini seakan-akan semakin hilang ditelan zaman, semuanya bermula dari kata-kata yang kurang sopan atau perkataan yang menunjukkan hilangnya hormat kepada guru, contohnya penggunaan ayat “ada aku kisah” bila ditegur atas sesuatu kesalahan.

Macam mana pula dengan hubungan kita dengan orang yang rapat dengan kita? Adakah kita cukup berhati-hati ketika melontarkan tutur kata? Terutama bila hati sudah panas. Berhati-hatilah kerana sesuatu yang kita sudah cakap, kita tidak boleh akan undur semula.

Teringat akan satu cerita teladan yang mengisahkan seorang anak dan ayah. Si anak merupakan seorang yang kuat marah dan bila marah, pasti ada kata-kata yang kurang elok, maki hamun pasti akan dilontarkan. Jadi, untuk mencari penyelesaian, ayahnya membuat satu tembok yang ditutupi dengan kain dan meberikankan anaknya tukul dan paku. Ayahnya menasihati bila mana engkau marah dengan seseorang, luahkanlah kemarahanmu dengan menukul tembok ini dengan menggunakan tukul dan paku yang telah diberikan.

Anaknya mengikuti segala apa yang disuruh, bila mana saja anak tersebut rasa kurang puas hati atau marah dengan seseorang, dia pasti akan menukul tembok tersebut semahu-mahunya. Setelah lama berlalu, si anak pun telah berubah dan menjadi seorang yang tidak mudah marah. Jadi, ayahnya pun pergi menemuinya dan menjelaskan sesuatu.  Ayahnya menjelaskan bahawa dalam kehidupan ini jangan sekali-kali menyakitkan hati insan yang lain dngan kata-kata yang kesat, kerana sesungguhnya bila mana kita marah, kita akan lontarkan apa sahaja tanpa mengira perasaan orang lain, begitu juga dengan situasi si anak. Ayahnya membuka kain yang menutupi tembok itu, dan alangkah terkejutnya si anak bila melihat banyak kesan-kesan paku yang ditinggalkan. Kesimpulannya bila mana kita marah, tentu pasti ada kesan yang pasti akan tertinggal.

Buat renungan bersama, kadang-kadang kita lupa diri apabila nafsu amarah mula menguasai diri kita. Kita cenderung untuk mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan hati demi memuaskan diri sendiri. Ingatlah biarpun orang sudah memaafkan perbuatan kita, tapi jauh dihati mereka masih ingat  dengan kata-kata kurang sopan yang kita pernah lafazkan.


Inilah yang membezakan manusia dengan pencipta. Allah sahajalah yang mampu mengampunkan kita dengan sebenar-benar keampunan. Maka, jika kita membuat kesalahan kepada seseorang, mohonlah maaf kepadanya dan juga kepada-Nya. Jika kita yang dizalimi, maafkanlah si pelaku dengan sebenar kemaafan.

Nasihat buat diri juga, bila mana kita sudah marah, cepat-cepat ambil wudhu dan istghfar banyak-banyak ya, cepat-cepat ingat Allah kerana sesungguhnya kemarahan daripada syaitan dan syaitan daripada api.

Sabda Nabi SAW “Apabila seseorang kamu marah dalam keadaan berdiri hendaklah dia duduk, jika masih tidak hilang kemarahannya hendaklah dia berbaring secara mengiring”
(Hadith riwayat Ahmad & Abu Daud)

Comments

Popular posts from this blog

Andai 'dia' pergi...

Diari SLE: Cryptococcal Meningitis

Diari SLE: Aku dan SLE